Perincian Anugerah
(APCP)

Graduan Politeknik merupakan penyumbang utama tenaga kerja di dalam industri TVET negara. Pengiktirafan ini adalah untuk memberikan inisiatif khusus kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pengajian di Politeknik. Anugerah ini juga sebagai nilai tambah kepada graduan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan di samping melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Penganugerahan ini mengiktiraf modal insan holistik yang bercirikan kemahiran dalam membangunkan industri di negara ini melalui Lonjakan 4: Graduan TVET Berkualiti (PPPM-PT).




Anugerah Ketua Jabatan (AKJ)

Anugerah ini akan diberikan kepada pelajar yang telah mencapai tahap prestasi akademik yang cemerlang pada semester dinilai kecuali ketika menjalani latihan industri. Bilangan penerima anugerah ini adalah tidak terhad

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Sijil AKJ yang ditandatangani oleh Ketua Jabatan dan disampaikan pada Majlis Anugerah Ketua Jabatan masing-masing.
  2. Slip Keputusan Penilaian Akhir Semester bercetak dengan perkataan ‘Anugerah Ketua Jabatan’.
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Mendapat keputusan Kedudukan Baik (KB) dengan Purata Nilai Mata (PNM) bersamaan atau melebihi 3.50 pada semester yang dinilai.
  2. Mencapai Nilai Mata bersamaan atau melebihi daripada 2.00 bagi setiap kursus yang diambil pada semester yang dinilai.
  3. Memenuhi 12 kredit (pelajar sepenuh masa) dan 5 kredit bagi pelajar Kursus Secara Sambilan (KSS) atau lebih pada semester yang dinilai seperti yang telah ditetapkan dalam Buku Arahan - Arahan Peperiksaan dan Kaedah Penilaian Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
  4. Bebas daripada tindakan tatatertib (melibatkan prosiding) oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Politeknik pada semester yang dinilai.



Pingat Ketua Jabatan (PKJ)

Anugerah ini akan diberikan kepada pelajar yang telah mencapai tahap prestasi akademik yang cemerlang dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) bersamaan atau melebihi 3.50 pada semester akhir pengajian.

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Pingat Ketua Jabatan yang akan dipakai semasa menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik; dan
  2. Sijil PKJ yang ditandatangani oleh Ketua Jabatan dan diserahkan kepada pelajar semasa Majlis Konvokesyen Politeknik
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Mendapat keputusan Lulus Penuh (LP) dengan Himpunan Purata NiIai Mata (HPNM) bersamaan atau melebihi 3.50 pada semester akhir pengajian.
  2. Bebas daripada tindakan tatatertib (melibatkan prosiding) oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Politeknik.



Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum

Penerima anugerah ini terdiri daripada lulusan yang telah berjaya menamatkan pengajian di Politeknik. Penerima anugerah adalah pelajar yang telah mencapai tahap prestasi akademik dan kokurikulum yang cemerlang sepanjang tempoh pengajian. Bilangan penerima adalah terhad kepada seorang bagi setiap jabatan dengan memenuhi syarat yang ditetapkan. Anugerah ini akan disampaikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik. Penerima anugerah ini boleh dicalonkan sebagai penerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama tertakluk kepada syarat-syarat semasa.

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum yang ditandatangani oleh Pengarah;
  2. Plak iringan; dan
  3. Sebarang ketetapan yang ditentukan oleh institusi (jika perlu).
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Mendapat keputusan Lulus Penuh (LP) dengan HPNM pada semester akhir bersamaan atau melebihi 3.60.
  2. Mencapai Nilai Mata bersamaan atau melebihi daripada 2.00 bagi setiap kursus yang telah diambil.
  3. Bergiat secara aktif dalam bidang kokurikulum
  4. Calon perlu mencapai jumlah markah minimum 85% dalam pemarkahan APCP.
  5. Bebas daripada tindakan tatatertib (melibatkan prosiding) oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Politeknik



Anugerah Pengarah

Anugerah ini merupakan PENGANUGERAHAN TERTINGGI kepada lulusan Politeknik. Seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum terbaik akan dipilih dan disahka noleh Jawatankuasa Induk Pemilihan (JIP). Anugerah ini akan disampaikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik. Penerima anugerah ini boleh dicalonkan sebagai penerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama tertakluk kepada syarat-syarat dan peruntukan kewangan semasa.

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Sijil Anugerah Pengarah Politeknik yang ditandatangani oleh Pengarah Politeknik;
  2. Plak iringan; dan
  3. Sebarang ketetapan yang ditentukan oleh institusi (jika perlu).
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Anugerah ini diberikan kepada seorang lulusan terbaik Politeknik bagi setiap sesi pengajian ketika Majlis Konvokesyen Politeknik.
  2. Jawatankuasa Induk Pemilihan akan membuat pemilihan berdasarkan markah tertinggi dalam Borang Ringkasan Pencalonan Anugerah Pengarah.
  3. Keputusan Jawatankuasa Induk Pemilihan adalah muktamad.



Anugerah Khas

Calon-calon bagi anugerah ini adalah terdiri daripada lulusan yang mempunyai keterampilan diri unggul dan telah dibuktikan berjaya dalam mengharumkan nama Politeknik di peringkat tertinggi. Lulusan yang layak diberikan anugerah ini telah mendapat pengiktirafan daripada pihak luar yang dibuktikan sahih. Semua bentuk anugerah akan disampaikan semasa Majlis Konvokesyen Politeknik.

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Sijil Anugerah Khas yang ditandatangani oleh Pengarah Politeknik;
  2. Plak iringan; dan
  3. Sebarang ketetapan yang ditentukan oleh institusi (jika perlu).
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Mendapat keputusan Lulus Penuh (LP) dengan HPNM pada semester akhir bersamaan atau melebihi 3.00.
  2. Mencapai Nilai Mata bersamaan atau melebihi daripada 2.00 bagi setiap kursus yang telah diambil.
  3. Calon mesti mencapai jumlah markah minimum 80% dalam pemarkahan APCP.
  4. Bebas daripada tindakan tatatertib (melibatkan prosiding) oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Politeknik.



Anugerah Projek Terbaik (Penyelidikan dan Inovasi)

Anugerah ini akan disampaikan kepada kumpulan pelajar yang telah berjaya menghasilkan projek semester akhir yang terbaik di Politeknik berkenaan bagi setiap sesi pengajian. Kriteria pemarkahan bagi Anugerah Projek Terbaik (APT) ini adalah merujuk kepada pemenang projek semester akhir Jabatan / Politeknik setiap sesi pengajian di Politeknik masing-masing.

Penerima akan dianugerahkan:
  1. Sijil APT bagi setiap ahli kumpulan yang ditandatangani oleh Pengarah Politeknik;
  2. Plak iringan (setiap ahli kumpulan);
  3. Piala pusingan (jika perlu); dan
  4. Sebarang ketetapan yang ditentukan oleh institusi (jika perlu).
Syarat-syarat Penganugerahan:
  1. Anugerah disampaikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik.
  2. Semua ahli kumpulan layak menerima anugerah ini walaupun terdapat ahli kumpulan yang masih berstatus aktif di Politeknik.
  3. Keputusan Jawatankuasa Induk Pemilihan adalah muktamad.